Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
SINAUT, Selasa, 16 Jun. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kampus Sinaut telah menerima kunjungan daripada Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Sesi Dialog dan Lawatan Kerja untuk meninjau perkembangan projek, penyelidikan dan inisiatif akademik universiti tersebut.
Lawatan tersebut antara lain mengetengahkan pameran projek dan inisiatif daripada Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Fakulti Pertanian, Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina dan E-Hub.
Pameran berkenaan bertujuan memberikan gambaran lebih dekat mengenai peranan UNISSA dalam memperkasa pendidikan tinggi Islam, penyelidikan halal, pertanian, pelancongan mampan serta inovasi berasaskan ilmu dan teknologi.
Sesi Dialog dan Lawatan Kerja ini bertujuan bagi memudah cara perbincangan dua hala yang konstruktif serta pertukaran pandangan antara Ahli-ahli MMN dan pihak UNISSA. Ia turut menjadi platform untuk memahami dengan lebih mendalam pelan dan program sedia ada, termasuk pencapaian, kemajuan terkini serta hala tuju strategik universiti.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal. Juga hadir sama, Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Haji Arman bin Haji Asmad serta pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah dan kakitangan UNISSA.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Rektor UNISSA antara lain menzahirkan penghargaan atas kunjungan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN ke UNISSA Kampus Sinaut yang mencerminkan keprihatinan terhadap kemajuan dan kebajikan pendidikan tinggi di negara ini.
Beliau turut menekankan bahawa UNISSA sentiasa mengalu-alukan maklum balas, nasihat dan pandangan ke arah penambahbaikan kualiti tadbir urus, di samping memastikan setiap inisiatif universiti terus sejajar dengan usaha negara mencapai Wawasan Brunei 2035 serta visi UNISSA untuk melahirkan 'Generasi Khayra Ummah'.
Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha memperkasa kebolehpasaran graduan UNISSA dalam sektor pekerjaan melalui pengukuhan kemahiran, pendedahan industri dan perluasan peluang kerjaya dalam sektor kerajaan atau swasta terutamanya dalam bidang industri halal, pelancongan mampan serta sektor pertanian dan perikanan.
Turut dibincangkan ialah mengenai dengan peranan UNISSA khususnya Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dalam memperkukuh ekosistem halal negara melalui penghasilan produk halal serta pemerkasaan penggunaan Logo Halal Brunei sebagai simbol pematuhan syariah, kualiti dan keyakinan pengguna.
Sesi Dialog dan Lawatan Kerja ini diharap dapat memperkukuh hubungan serta kerjasama antara UNISSA dan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN di samping membuka ruang kepada perkongsian yang lebih luas dalam mendukung kecemerlangan pendidikan tinggi Islam dan pembangunan negara.